11/11/2017- Bantu Hingga Dapat Kerja

Bantu Hingga Dapat Kerja

Sinar Harian (Online):11/11/2017

PASIR MAS - Kementerian Sumber Manusia akan membantu 80 keluarga terpilih di negeri ini menerusi Program Bantuan Keluarga Miskin Negeri Kelantan.

Ketua Setiausahanya, Dr Mohd Ghazali Abas berkata, bantuan itu merangkumi kerja membaik pulih rumah dan keperluan untuk memastikan keluarga terlibat menjalani kehidupan lebih selesa.

“Bukan itu sahaja, kementerian turut memfokuskan bantuan kepada generasi kedua dengan menyediakan latihan kemahiran.

“Kita akan bekerjasama dengan Institut Latihan Perindustrian (ILP) bagi membantu menyediakan latihan kemahiran anak-anak keluarga terlibat,” katanya pada Program Bantuan Keluarga Miskin Negeri Kelantan, semalam.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Wan Zulkifli Wan Setapa.

Pada program itu, Mohd Ghazali sempat melawat tiga rumah di Kampung Landar dan menyampaikan sumbangan keperluan harian dan wang tunai.

Menurutnya, keluarga yang menerima bantuan itu berada dalam senarai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan.

"Bantuan diberikan Kementerian Sumber Manusia ini bukan one off tetapi secara berterusan bermula sekarang sehingga mereka berjaya mendapat pekerjaan," katanya.

Penerima, Zawiah Ismail, 42, berkata, dia bersyukur dan berterima kasih atas bantuan diberikan.

“Kami hidup dalam serba kekurangan, rumah ini usang dengan atap bocor serta dinding rumah mula reput.

“Kunjungan ini amat bermakna buat kami, sebelum ini kami tak pernah terima apa-apa bantuan,” katanya.

 

FaLang translation system by Faboba