18/12/2017 - Talian Hayat' Hilang Kerja

' Talian Hayat ' Hilang Kerja

Harian Metro (Online) : 18/12/2017

Kuching: Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang bakal dilaksanakan Januari tahun depan memberi manfaat kepada pekerja yang kehilangan kerja menyara kehidupan, sementara mencari pekerjaan baru.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, SIP membolehkan pekerja kehilangan kerja menerima elaun tunai yang secara tidak langsung mengurangkan bebanan sementara memperoleh pekerjaan baru.

Menurutnya, majikan akan membayar caruman (SIP) sebanyak 0.2 peratus manakala pekerja juga 0.2 peratus jadi keseluruhan caruman terbabit ialah 0.4 peratus daripada gaji pekerja.

“SIP akan dilaksanakan mulai 1 Januari depan walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak khususnya majikan. Namun, ia tetap dilaksanakan bagi menjamin kehidupan pekerja terbela sementara memperoleh pekerjaan baru.

“Manfaat yang diterima pekerja ini adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan nasib golongan ini terbela seterusnya memastikan mereka yang tidak mempunyai simpanan boleh menggunakan caruman ini,” katanya dalam Majlis Sambutan Krismas Bersama Penerima Faedeh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2017, di sini.

Pada majlis itu, Riot menyerahkan cek kepada enam penerima bayaran faedah tunai keseluruhan bernilai RM110,146.07 termasuk peralatan pemulihan kepada empat penerima.

Riot berkata, Kerajaan Pusat juga memperuntukan RM122 juta kepada PERKESO bagi memulakan SIP tahun depan apabila pekerja yang kehilangan pekerjaan pada 2018 akan menerima faedah interim elaun tunai bagi tempoh tiga bulan.

“Kementerian menjangkakan pembayaran faedah SIP sepenuhnya akan dapat diberikan PERKESO dalam dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari 2019,” katanya.

FaLang translation system by Faboba