10/01/2018 - JUMLAH PEKERJA HILANG KERJA MASIH DI TAHAP BIASA, KATA RIOT

JUMLAH PEKERJA HILANG KERJA MASIH DI TAHAP BIASA, KATA RIOT 

The Malaysian Insight (Online) : 10/01/2018

JUMLAH pekerja yang hilang pekerjaan pada tahun lepas masih ditahap 'biasa', tidak seperti yang digambarkan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), kata Menteri Sumber Manusia Richard Riot.

Beliau berkata dakwaan MEF bahawa lebih 50,000 pekerja hilang pekerjaan pada 2017 mungkin dibuat tanpa merujuk kepada sumber yang betul kerana statistik Jabatan Tenaga Kerja (JTK) menunjukkan sebaliknya.

"Saya tidak pasti daripada mana mereka mendapat jumlah tersebut dan sebab itu saya anggap ia mungkin hanya ramalan MEF.

"Berdasarkan kajian JTK, lebih kurang 35,000 orang sahaja yang hilang pekerjaan dan dalam hal ini, ia adalah perkara biasa," katanya mengulas mengenai kenyataan MEF bahawa lebih 50,000 pekerja dijangka hilang kerja disebabkan keadaan ekonomi yang lembap.

Bercakap pada sidang media selepas menyampaikan bantuan interim Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kepada lapan pemohon pertama di Putrajaya hari ini, Riot berkata keadaan itu akan ditampung dengan jumlah 300,000 pekerjaan yang bakal diwujudkan tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sektor pembuatan dijangka menyediakan peluang pekerjaan tertinggi diikuti perladangan dan perkhidmatan, katanya.

Menurut laporan JTK, seramai 35,097 pekerja terlibat dengan pemberhentian bagi tempoh Januari hingga Disember 2017, menurun 6.2 peratus berbanding 37,699 orang pada 2016.

Daripada jumlah itu, seramai 31,159 pekerja atau 89 peratus diberhentikan melalui pemberhentian biasa berbanding 3,938 pekerja atau 11 peratus diberhentikan melalui pemberhentian secara sukarela (VSS) dengan pemberhentian pekerja tertinggi berlaku dalam sektor pembuatan iaitu sebanyak 25,370 orang (72 peratus).

Mengenai SIP, Riot berkata skim sebagai jaminan kepada para pekerja yang hilang pekerjaan untuk segera dibantu itu sehingga kini telah menerima 175 permohonan sejak berkuat kuasa 1 Januari lepas.

Di bawah Akta Sistem Insurans 2017, individu yang kehilangan pekerjaan layak menerima faedah interim sebanyak RM600 bagi tempoh maksimum tiga bulan, namun pembayaran akan dihentikan sekiranya pemohon telah mendapat pekerjaan baharu. – Bernama, 10 Januari, 2018.

 

 

FaLang translation system by Faboba