KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia memberi tempoh sehingga hujung bulan ini bagi majikan yang layak mencarum Levi Pembangunan Sumber Manusia atau berdepan kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang.

Ia merupakan pembayaran caruman mandatori dikenakan kerajaan kepada kumpulan majikan yang tertentu bertujuan melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja.

"Sehingga April tahun ini, majikan layak mendaftar ialah 45, 750 namun hanya kira-kira 50 peratus berbuat demikian, bermakna terdapat 23,072 lagi majikan yang belum mendaftar," kata Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Beliau bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat kali pertamanya bersama Anggota Lembaga Pengarah Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di sini, hari ini.

Menurutnya, majikan yang ingkar boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM10,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, Kulasegaran berkata mengheret majikan ke mahkamah merupakan pilihan terakhir memandangkan kementerian masih mahu memberi peluang kepada majikan terbabit.

Di bawah Akta PSMB, majikan di dalam kategori tertentu bertanggungjawab membayar levi untuk setiap pekerja pada kadar satu peratus daripada gaji bulanan pekerja.

Kriteria majikan yang diwajibkan mencarum levi ini ialah majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 pekerja tempatan dalam bidang pembuatan, perlombongan dan kuari serta 38 subsektor perkhidmatan antaranya perhotelan, perkapalan, pengangkutan udara dan telekomunikasi. - Bernama