25/06/2018 - KEPERLUAN MENDESAK TRANSFORMASI TVET

KEPERLUAN MENDESAK TRANSFORMASI TVET

Berita Harian (Online) : 25/06/2018

PUTRAJAYA: Keperluan untuk melakukan transformasi bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) begitu mendesak dengan mengambil kira kepentingan bidang itu terhadap negara bagi mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0).

Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Malaysia, Nurul Izzah Anwar, berkata kerjasama semua pihak amat diperlukan bukan sahaja untuk melakukan transformasi bidang itu, tetapi bagi memastikan TVET menjadi pilihan, sama ada setaraf atau mungkin lebih baik daripada ijazah sarjana muda atau sarjana.

Beliau berkata, walaupun tidak dapat dinafikan ramai yang menganggap TVET bukan bidang pilihan dan agak sukar untuk mengubah persepsi itu, namun ia bukan sesuatu yang mustahil.

Menurutnya, TVET mempunyai skop yang begitu luas selain amat berpotensi, disebabkan itu pembabitan pelajar negara ini terutama golongan muda amat penting.

"Bagi memperhalusi usaha ke arah pemerkasaan bidang ini, untuk fasa pertama, saya akan mengadakan pertemuan dengan pihak berkepentingan termasuk industri, pihak swasta, institusi berkaitan TVET serta pelajar dalam masa dua bulan ini, bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan transformasi bidang itu bagi memastikan ia dipandang tinggi seperti di Jerman.

"Bukan saja wujud keperluan untuk melakukan transformasi secara struktur, tetapi mungkin kita perlu ambil keputusan yang agak pahit untuk memastikan TVET ini menjadi 'demand driven, industry driven'," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemerkasaan TVET Malaysia bersama beberapa pihak berkepentingan yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, gabungan tujuh kementerian dalam pelaksanaan TVET yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini perlu diseragamkan bagi mengelakkan sebarang pertindihan selain menjimatkan kos.

"Kita belanjakan hampir RM4.5 bilion untuk latihan TVET setiap tahun, dan tujuh kementerian terbabit dalam melakukannya dan sepatutnya ia diseragamkan.

"Selain itu, bidang TVET ketika ini adalah di bawah kapasiti, yang bermaksud masih ramai yang tidak berminat untuk menyertainya, disebabkan itu, kita perlu melakukan transformasi termasuk mempelajari sistem yang dipakai di Jerman ke arah memperkasakannya dan mengubah persepsi ramai terhadap bidang itu," katanya.

FaLang translation system by Faboba