08/07/2018 - PEMANDU E-HAILING DAFTAR PERKESO MASIH KURANG

PEMANDU E-HAILING DAFTAR PERKESO MASIH KURANG

Berita Harian (Online) : 08/07/2018 

IPOH: Kementerian Tenaga Manusia masih belum puas hati dengan jumlah pemandu yang menawarkan khidmat e-hailing yang mendaftar di bawah Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri hanya 5,000 orang setakat ini.

Menteri Tenaga Manusia, M Kulasegaran berharap semua 90,000 pemandu yang menawarkan khidmat e-hailing berdaftar demi jaminan keselamatan sosial mereka.

"Perangkaan menunjukkan sektor ini adalah pekerjaan paling berisiko kerana mereka selalu berada di atas jalan raya. Pemandu amat memerlukan skim ini dan kami secara sukarela akan melindungi mereka.

"Jumlahnya hanya RM150 setahun dan perlindungan skim ini bukan hanya untuk diri pemandu, tetapi keluarga mereka juga sekiranya kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kaunter Khidmat Rakyat di Pasar Awam Buntong hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) PERKESO, John Riba Marin.

Kulasegaran berkata, PERKESO memperkenalkan empat jenis bayaran caruman setahun dan mereka boleh memilih jumlah yang sesuai dengan cita rasa dan kemampuan mereka.

Katanya, bayaran caruman bermula daripada RM157.20 hingga RM592.80 setahun dan sepanjang bulan April lalu, hanya 4,231 pemandu yang telah berdaftar dengan skim berkenaan.

Kulasegaran berkata, pemandu e-hailing perlu belajar daripada kejadian bunuh yang membabitkan pemandu Grab ketika beliau menjalankan tugas dan lebih menyedihkan lagi, pemandu itu tidak berdaftar dengan PERKESO.

"Keluarga mangsa tidak mendapat apa-apa pampasan dan kita tidak mahu perkara ini berulang," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mewujudkan Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.

Sebagai permulaan, skim itu diwajibkan ke atas pemandu teksi dan perkhidmatan seumpamanya mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang berkuat kuasa mulai 1 Jun tahun lalu.

Skim itu memberi perlindungan kepada orang berinsurans yang bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan ketika menjalankan aktiviti pekerjaan.

Perlindungan itu turut menyediakan faedah tunai kepada pemandu teksi dan tanggungannya di samping menyediakan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

FaLang translation system by Faboba