Dasar Kerahsiaan | Dasar Keselamatan | Notis Hak Cipta | Penafian

 

21 November 2018 : Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Yayasan AIDS Malaysia telah menganjurkan Majlis Anugerah ASEAN Red Ribbon for Outstading Workplace ( ARROW ). Dalam majlis tersebut, YB Tuan M. Kula Segaran, Menteri Sumber Manusia telah menyampaikan anugerah kepada 7 syarikat daripada negara ASEAN atas pencapaian cemerlang dalam menjalankan program kawalan dan pencegahan HIV/AIDS di tempat kerja

 Menurut YB Menteri, walaupun data yang direkodkan daripada The Joint United Nations Programme on HIV/AIDS (UNAIDS) telah menunjukkan laporan sebanyak 280,000 jangkitan HIV pada tahun 2017, yang mana 170,000 adalah kes yang menyebabkan kematian berkaitan AIDS, rawatan antiretroviral juga semakin mudah diakses dan kematian berkaitan AIDS telah berkurangan dan sekaligus meningkatkan kualiti hidup mereka yang dijangkiti HIV.

Majlis yang kedua kalinya diadakan hari ini turut dihadiri oleh Tuan Kung Phoak, Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN untuk Komuniti Sosio-Budaya ASEAN; Dato’ Amir Omar, Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Manusia; En. Lim Eng Hock, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia; Ir. Hj. Omar Mat Piah, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); En. Bakhtiar Talhah, Koordinator ASEAN-BCA; dan delegasi ASEAN-BCA.

28 Oktober 2018 : Pelaporan kemalangan di sektor pertanian, perikanan dan perhutanan pada tahun 2017 telah menunjukkan peningkatan laporan kepada 2,589 kes berbanding 2,359 kes pada tahun 2016. Ini menunjukkan para majikan dan pekerja semakin sedar kepentingan melaporkan kemalangan kepada pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP).

Ketika merasmikan program Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) di Sektor Pertanian, Perikanan dan Perhutanan 2018, YB Dato’ Mahfuz Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), mengingatkan majikan dan pekerja agar sentiasa menerapkan amalan budaya pencegahan kemalangan di tempat kerja bagi menurunkan kadar kemalangan pekerjaan. Ini kerana ianya dapat memberi impak positif kepada negara dan menunjukkan bahawa bekerja di Malaysia adalah selamat dan sihat sekaligus dapat meyakinkan pelabur-pelabur luar untuk terus membuat pelaburan perniagaan di Malaysia.

Program yang dianjurkan oleh Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) ini bertujuan untuk menghebahkan maklumat terkini berkaitan isu-isu keselamatan dan kesihatan di sektor pertanian, perikanan dan perhutanan, serta mempromosi pembentukan dan pemeliharaan budaya kerja selamat dan sihat dalam kalangan majikan, pekerja, dan orang awam

 

13 November 2018 : Kementerian Sumber Manusia bercadang untuk memandatorikan garis panduan ‘Occupational Safety and Health in Construction Industry ( Management )’ (OSHCIM) untuk setiap pemaju industri terutamanya sektor pembinaan mematuhi piawaiannya menjelang tahun 2020.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Suber Manusia, YB Dato’ Mahfuz Omar menyarankan agar setiap pemaju industri mengikuti syor- syor atau piawaian dalam garis panduan tersebut yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (JKKP), sebelum ia dilaksanakan sebagai mandatori kelak.

YB Dato’ Mahfuz Omar berkata demikian ketika melancarkan projek rintis pematuhan Garis Panduan OSHCIM di Projek Pembinaan Sunway Serene, Petaling Jaya. Beberapa syarikat diberi penghargaan kerana menyertai projek tersebut.

27 Oktober 2018 : Sejumlah 26,178 daripada 64,814 buah lif yang berdaftar dengan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di seluruh Malaysia telah dibuat pemeriksaan sejak awal tahun ini. Hasil daripada pemeriksaan tersebut, didapati kesemua lif berfungsi dan mematuhi standard rekabentuk serta pemasangan yang ditetapkan oleh pihak JKKP; dan sekiranya terdapat lif yang tidak mencapai standard yang dibenarkan, arahan penambahbaikan telah dikeluarkan oleh pihak JKKP.

Ini dijelaskan oleh YB Dato’ Mahfuz Omar, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), dalam ucapan beliau semasa menyempurnakan Kempen Keselamatan Penggunaan Lif Peringkat Kebangsaan 2018 di PPR Intan Baiduri, Kuala Lumpur. Beliau turut menekankan kepentingan pihak pemunya premis untuk memastikan setiap lif yang dipasang di premis mereka diselenggara mengikut jadual penyelenggaraan yang ditetapkan dan sentiasa beroperasi dalam keadaan yang baik tanpa wujudnya risiko kepada keselamatan para pengguna.

Pemunya bangunan bertanggungjawab untuk melantik Firma Yang Kompetan dan juga Orang Yang Kompeten yang diiktiraf oleh JKKP bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas lif, namun, pada masa yang sama, para pengguna juga diingatkan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa menggunakan lif secara betul dan berhemah

TOP

THEME OPTIONS

Header type:
Theme Colors:
Color suggestions *
THEME
* May not have full accuracy!