21/10/2017- Pelajar Malaysia Rangkul Pingat Gangsa Dalam WSC 2017

Pelajar Malaysia Rangkul Pingat Gangsa Dalam WSC 2017
Bernama Online (Am) : 21/10/2017 SEPANG, 21 Okt (Bernama) -- Persiapan dan latihan selama dua tahun Mohd Asyraff Yusni, 22, akhirnya berbaloi apabila berjaya merangkul pingat gangsa dalam Bidang Teknologi Automatif di Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2017 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini.
Pelajar Kolej Universiti DRB Hicom itu berkata beliau menghabiskan 12 jam sehari bermula 8 pagi hingga 8 malam membuat latihan bagi memperkasakan kemahiran mengenal pasti serta memperbaiki enjin dan sistem kenderaan.
Kesemua peserta diberi tugasan termasuk mengenal pasti dan memperbaiki enjin kereta rosak serta kerosakan pada bahagian brek kenderaan dalam tempoh dua jam. "Keadaan ketika pertandingan itu sungguh mencabar...saya amat resah sehingga makan tak lalu dan tidur tidak lena. Namun semuanya berbaloi apabila berjaya mengharumkan nama Malaysia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot menyambut kepulangan kontinjen Malaysia yang diketuai Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Mutalib di KLIA. Hadir sama Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mohd Asyraff menerima insentif RM10,000 dan dianugerahkan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia serta diisytihar sebagai peserta terbaik Malaysia (Best of Nation) selain membawa pulang wang tunai RM4,000 bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Automotif Teknologi dengan biasiswa Yayasan Proton.

Bagi Lai Jia Yi, 21, pelajar bidang masakan berkata beliau meluangkan masa kira-kira 13 jam setiap hari untuk membangunkan pelbagai resipi selama empat bulan sebagai persediaan menghadapi pertandingan sengit dalam WSC 2017 yang diadakan pada 15 hingga 18 Okt.
"Saya dan jurulatih telah menghasilkan pelbagai resipi dan ia banyak memperkasa kemahiran masakan saya. Selain itu, latihan amali di Perancis selama enam bulan juga banyak membantu saya," katanya.
Pelajar Kolej Taylor itu turut menerima insentif RM10,000 dan juga dianugerahkan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.
Beliau akan meneruskan latihan dan membuat persediaan untuk menyertai Pertandingan Young Chef Olympiad 2018 yang akan diadakan di empat lokasi di India pada Januari tahun depan.
-- BERNAMA

FaLang translation system by Faboba