19/04/2018 - SAMBUTAN HARI PEKERJA 2018 KEKAL 1 MEI

SAMBUTAN HARI PEKERJA 2018 KEKAL 1 MEI

Berita Harian (Online) : 19/04/2018

Kuala Lumpur: Sambutan Hari Pekerja 2018 peringkat kebangsaan yang bertemakan ‘Pekerja Peneraju Kecemerlangan Negara’ dijangka tetap diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 1 Mei depan. Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor, mengesahkan pihaknya dihubungi Kementerian Sumber Manusia berhubung sambutan Hari Pekerja itu.“Kementerian Sumber Manusia sebelum ini mengumumkan sambutan Hari Pekerja peringkat nasional ditangguhkan pada tarikh lain dari 1 Mei tanpa perbincangan dengan MTUC. “Berikutan itu, MTUC merancang satu sambutan khas selepas mengetahui pengumuman penangguhan Kementerian Sumber Manusia itu melalui akhbar. Bagaimanapun, kemusykilan timbul apabila Kementerian Sumber Manusia memanggil untuk mengadakan semula sambutan pada 1 Mei. Sambutan bersama “Sambutan 1 Mei adalah majlis sambutan tripartite (tiga pihak) yang dinaungi dan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sambutan secara bersama ini amat baik dan mencetuskan semangat berpasukan untuk pembangunan minda dan modal insan,” katanya. Abdul Halim berkata, di Malaysia 1 Mei diiktiraf sebagai cuti umum yang tidak boleh dipinda dan MTUC bercadang mengemukakan beberapa isu kepada kerajaan, termasuk projek rumah mampu milik pekerja swasta, projek rumah mampu milik kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta kerajaan dan pencarum.“Kita juga akan mengutarakan pindaan Akta Kerja 1955 sejajar sebagai negara maju, pindaan Akta PERKESO dan Akta KWSP dan lapangan kerja berdaftar untuk semua tenaga kerja tempatan baharu daripada semua kategori pendidikan dengan gaji minimum setahun dan bersijil Testimoni Pekerja Terlatih,” katanya. Abdul Halim berkata, objektif cadangan itu untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kerana dianggarkan tenaga baharu semua kategori yang memasuki pasaran kerja ialah 500,000 orang setahun.CUEPACS sambut baik Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata pihaknya mengalu-alukan majlis sambutan berkenaan yang turut disambut di seluruh dunia pada tarikh sama.Katanya, beliau difahamkan Perdana Menteri bersetuju supaya sambutan Hari Pekerja peringkat nasional, diteruskan pada 1 Mei ini dan satu mesyuarat berkaitan akan diadakan dalam tempoh masa terdekat. “Memang wajar sambutan itu diteruskan pada 1 Mei ini dan CUEPACS amat mengalu-alukannya. Ia bukan sekadar sambutan biasa tapi pengiktirafan kepada pekerja yang menyumbang kepada pembangunan dan ekonomi negara dalam pelbagai sektor,” katanya. Azih berkata, pihaknya turut berharap Najib akan hadir pada sambutan berkenaan dan membawa khabar gembira buat semua pekerja.

FaLang translation system by Faboba