20/04/2018 - MYAPPRENTICESHIP WUJUD SATU JUTA PELUANG PEKERJAAN BAHARU

MYAPPRENTICESHIP WUJUD SATU JUTA PELUANG PEKERJAAN BAHARU

Berita Harian (Online) : 20/04/2018

KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad untuk menambah sejuta lagi peluang pekerjaan baharu menerusi program MyApprenticeship, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ia tambahan kepada janji kerajaan untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan baharu seperti diumumkan menerusi Aku Janji Ketiga dalam Manifesto Kerajaan Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), untuk tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, penambahan jumlah itu diputuskan dalam satu mesyuarat Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) pada 22 Februari lalu.

"Selain daripada tiga juta peluang pekerjaan baharu yang akan diwujudkan itu, melalui MyApprenticeship kerajaan bertekad menambah satu juta lagi peluang pekerjaan baharu untuk semua rakyat dan anak-anak Malaysia!

"Ternyata ini sunggu berbeza dengan Manifesto Pakatan Pembangkang yang hanya sekadar menjanjikan satu juta peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun sama," katanya ketika berucap merasmikan Program MyApprenticeship di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Pada majlis itu juga Najib turut melancarkan portal MyApprenticeship selain menyaksikan pertukaran 18 dokumen kerjasama dan Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan agensi kerajaan dan swasta dengan menyediakan 6,000 tempat skim perantisan.

MyApprenticeship adalah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bertujuan dan tertumpu kepada penempatan graduan belia, wanita, diploma dan ijazah serta pekerja untuk mengambil bahagian dalam perantisan di sektor awam dan swasta dalam mendapatkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kerja yang berharga demi kebolehpasaran mereka.

Program berkenaan diterajui Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Kewangan, membabitkan kerjasama NBOS dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Pendidikan dan Blue Ocean Corporate Council (BOCC).

Dalam pada itu Najib berkata, selain peluang pekerjaan baharu, kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai berganda kepada semua syarikat yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.

"Sebagai inisiatif kepada syarikat yang mengambil bahagian dalam progrma MyApprenticeship ini, maka dengan sukacitanya Kerajaan bersetuju memberikan double 'tax deduction' atau potongan cukai berganda kepada semua syarikat yang terbabit dalam merealisasikan inisiatif besar ini," kata Najib.

FaLang translation system by Faboba