1/05/2018 - HARI PEKERJA 2018 DISAMBUT MERIAH

HARI PEKERJA 2018 DISAMBUT MERIAH

Utusan Malaysia (Online) : 01/05/2018

KUALA LUMPUR 1 Mei - Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra diwarnai kemeriahan sambutan Hari Peker-ja dengan kehadiran lebih 10,000 pekerja dari seluruh negara.

Sambutan pada tahun ini menggunakan tema ‘Pekerja Berkemahiran, Peneraju Kecemerlangan Negara.’

Perhimpunan kali ini turut melibatkan kehadiran majikan, kesatuan-kesatuan sekerja dan pihak kerajaan yang menunjukkan bahawa wujudnya ‘tripartite’ semangat kerjasama yang kukuh dalam urusan pekerjaan di negara ini.

Perhimpunan mega ini juga secara tidak langsung menterjemahkan penyatuan golongan pekerja dalam pelbagai peringkat.

Mereka terdiri daripada kakitangan kerajaan, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, badan berkanun dan swasta.

Tidak ketinggalan, golongan pekerja dalam kalangan orang kurang upaya yang turut diraikan pada majlis berkenaan.

Tetamu kenamaan yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot; Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC),Datuk Abdul Halim Mansor dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Sambutan Hari Pekerja 2018 bermula seawal pukul 8 pagi dengan aneka persembahan muzik, nyanyian dan tarian daripada Badan Kesenian Tentera Darat.

Acara diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Suara Pekerja.

Kemudiannya, para hadirin turut berpeluang mendengar amanat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri turut membawa khabar gembira buat warga pekerja dengan lima pengumuman inisiatif dan pe-runtukan tambahan baharu termasuk cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya tiga hari kepada para suami yang bekerja swasta.

Kemuncak acara sambutan adalah penyampaian 11 anugerah kepada golongan pekerja dan majikan yang cemerlang.

FaLang translation system by Faboba